Dalam kita menuju ke arah dunia digital, ramai yang mempertikaikan tentang etika pemakaian dan penampilan diri terutamanya di alam pekerjaan. Tapi tahukah anda bahawa imej profesional akan kekal penting walau anda dalam abad mana sekali pun!
Bagi mereka yang lahir dalam generasi Baby Boomer dan generasi X, imej dan etika professional masih kuat dan menebal dalam alam pekerjaan. Generasi ini beranggapan bahawa penampilan merupakan sesuatu yang wajib diutamakan jika ingin mendapatkan pengaruh.
Walau bagaimana pun, bagi sesetengah yang lahir dalam generasi Y sehingga sekarang, imej bukan lagi menjadi satu kepentingan. Mereka tidak gemar kelihatan professional. Malahan mereka lebih selesa untuk menampilkan imej yang lebih santai. Tambahan pula, cara kerja dan kehidupan sosial mereka agak berbeza dari generasi terdahulu.
Penampilan Diri di Abad ke 21
Jika dilihat dari segi keterampilan generasi muda, etika pemakaian semakin tidak dititikberatkan. Mereka lebih gemar konsep kesantaian tanpa protokol dan peraturan.
![](https://drannshafeera.com.my/wp-content/uploads/2022/12/c73472f6914460d350661d455d260755.jpg)
Walau bagaimana pun, kebanyakan syarikat dan perniagaan masih menganggap penampilan diri adalah kunci kepada professionalism.
Mustahil anda boleh kelihatan profesional dengan hanya berbaju-T, berseluar jeans dan memakai sneakers untuk ke tempat kerja apatah lagi untuk ke temuduga.
![](https://drannshafeera.com.my/wp-content/uploads/2022/12/49c172a9c7e940eb1cbd863383abb10d.jpg)
Imej profesional bukan sahaja penting dalam memberikan gambaran pertama sekiranya anda terlibat dalam sesuatu urusan, lebih utama sekiranya ia adalah pertemuan kali pertama.
Dalam etika pemakaian penjawat awam juga menetapkan bahawa pakaian rasmi haruslah dikenakan ketika urusan kerja. Ini kerana penampilan yang baik harus ditonjolkan oleh penjawat awam bagi menonjolkan perwatakan yang bagus, sikap dan nilai yang boleh memberikan keyakinan.
Bayangkan jika seorang penjawat awam hadir ke mesyuarat rasmi berpakaian ala hipster? Tentu kelihatan menjengkelkan bagi ahli mesyuarat yang lain.
Tahukah anda, penampilan individu mencerminkan diri secara peribadi.
![](https://drannshafeera.com.my/wp-content/uploads/2022/12/depositphotos_109783670-stock-photo-working-process-at-business-meeting.webp)
(Sumber Gambar dari https://depositphotos.com/stock-photos/muslim-professionals.html)
Mengenakan fesyen semata-mata tanpa mengetahui tema penampilan juga boleh menjejaskan makna sebuah keterampilan dan menjejaskan imej professionalism.
Keterampilan bukan sahaja perlu di alam pekerjaan. Ianya bermula seawal diusia kanak-kanak dan di zaman remaja. Ada yang mengambil mudah dengan mengenakan seluar pendek dan berselipar untuk ke kelas tambahan atau ke kuliah.
Kesan daripada sikap sambil lewa cara berpakaian ini, generasi muda sukar dilentur dan tidak berdisiplin.
Mereka seolah-olah menjadikan cara berpakaian sebagai sesuatu yang tidak penting, tanpa disedari penampilan memainkan peranan utama dalam menggalas setiap tugas yang diamanahkan.
Kesimpulannya, penampilan bukan sahaja menggambarkan keperibadian dan imej seseorang. Sekiranya tidak dijaga, ia dapat mempengaruhi sikap dan disiplin seseorang dalam amanah yang dipertanggungjawabkan.
Recent Comments